Wednesday, March 7, 2012

MASJID JAMEK AN-NUR, WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN


Pembinaan masjid ini siap pada 15 Mei 1987 

Masjid yang dinamakan An-Nur ini terletak di tapak seluas 4.5 ekar di pusat bandar Labuan dan ia sangat mudah dikunjungi oleh sesiapa sahaja. Pada peringkat awalnya pembinaan masjid ini dikendalikan oleh kerajaan Negeri Sabah melalui Majlis Agama Islam Sabah (MUIS). Masjid ini didirikan bagi mengganti masjid lama Labuan yang tidak lagi dapat menampung bilangan jemaah yang semakin meningkat.

Kerja-kerja projek pembinaan telah dimulakan pada 9 Jun 1980 Masihi tetapi atas beberapa sebab teknikal, projek ini telah ditangguhkan. Namun pada 16 April 1984 Masihi setelah Pulau Labuan dijadikan Wilayah Persekutuan yang kedua selepas Kuala Lumpur, projek ini diambil alih dan dilaksanakan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan. Tawaran melaksanakan projek ini telah dibuat semula dan akhirnya pembinaan masjid ini siap pada 15 Mei 1987 Masihi. Masjid ini telah dirasmikan pada 13 Jamadilakhir 1408 Hijri bersamaan 1 Februari 1988 Masihi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Alaudin Shah ketika Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

Konsep Reka Bentuk

Masjid ini berkonsepkan gabungan elemen seni bina Melayu Brunei dan Turki. Hasil daripada kedua-dua pengaruh ini berjaya melahirkan masjid yang mempunyai identiti baru yang unik dan indah. Masjid ini dilengkapi dengan sebuah kubah berbentuk dom dan dua buah menara tinggi di kiri dan kanan masjid.

Oleh kerana masjid ini berlatarkan Laut China Selatan, kedua menara ini turut menjadi panduan utama kepada para nelayan terutama pada waktu malam. Reka bentuk dan hiasan dalaman masjid ini berkonsepkan kontemporari. Jeriji dan cermin telus menjadi elemen pencahayaan dan pengudaraan semula jadi ke dalam masjid. Anak tangga sebagai penghubung aras bawah dan tingkat atas dihiasi dengan lampu bulat tergantung di bahagian atas bagi memberi cahaya dan mengindahkan lagi bahagian ini.

Masjid An-Nur turut dilengkapi beberapa kemudahan dan kelengkapan untuk kegunaan orang ramai seperti tiga buah dewan kuliah, Perpustakaan Darul Hikmah, pejabat pentadbiran dan sebuah bilik rehat untuk orang-orang kenamaan. -islamgrid
 
 
Alamat: PETI SURAT 81981


Sunday, February 12, 2012

MASJID SULTAN ISMAIL (MASJID RAJA) CHENDERING, KUALA TERENGGANU


Bangunan ini telah siap sepenuhnya pada 31 Mei 2011 dan mula diberi kebenaran gunapakai pada 4 Ogos 2011.


Masjid Sultan Ismail (dahulu dikenali sebagai Masjid Raja Chendering) adalah salah sebuah daripada 491 masjid yang ada di negeri Terengganu. Ia terletak di Mukim Chendering Daerah Kuala Terengganu. Kedudukan lokasinya yang bersebelahan dengan jalanaraya Kuala Terengganu-Marang telah menjadikan masjid ini sebagai tempat persinggahan orang ramai untuk mengerjakan solat.

Menurut catatan sejarah, sebelum terbinanya bangunan lama Masjid Raja Chendering, terdapat sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Lebai Zainal di Kampung Chendering. Ia merupakan masjid pertama dibina di kampung ini dan merupakan antara masjid yang menjadi tempat persinggahan orang-orang kenamaan dizaman dahulu. Lokasi bangunan Masjid Lebai Zainal ini tidak dapat dikenalpasti pada hari ini, tetapi menurut sumber sejarah, ia terletak tidak jauh dari tapak lokasi masjid yang ada pada hari ini. Masjid ini adalah bersaiz kecil dan hanya mampu memuatkan seramai 150 orang  jemaah sahaja dalam satu-satu masa.

Akibat daripada peningkatan jumlah penduduk dari semasa ke semasa, masjid ini telah menjadi sesak dan sudah tidak lagi mampu untuk menampung bilangan jemaah yang semakin meningkat. Rentetan daripada itu, dalam tahun 1950, Tengku Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Tengku Seri Wa Diraja ketika itu telah mengambil inisiatif dengan menghadiahkan salah sebuah daripada rumahnya di Kuala Terengganu untuk dijadikan sebagai bangunan masjid baru bagi menampung bilangan jemaah yang lebih ramai.

Berikutan itu, pada tahun 1951 kerja-kerja merombak kayu rumah Tengku Seri Wa Diraja telah dilakukan secara bergotong-royong oleh penduduk Kampung Chendering dan telah memindahkannya menggunakan lori ke sebuah tapak baru yang diwakafkan untuk masjid oleh Allahyarham Che Dagang. Bermula daripada pengorbanan Tengku Seri Wa Diraja inilah terakamnya nama Masjid Raja Chendering yang dikenali sehingga kini sempena menghargai jasa beliau mewakafkan rumahnya untuk masjid.

Setelah itu, bangunan masjid ini kemudiannya telah mengalami empat kali pengubahsuaian mengikut peredaran zaman dan keperluan semasa dan keluasan terakhir masjid ini sebelum dirobohkan bagi pembinaan bangunan baru yang ada kini  seluas 4,200 kaki persegi yang mampu memuatkan seramai 500-600 jemaah dalam satu masa.

Cadangan pembinaan bangunan masjid baru telah dilakukan tahun 1999, satu kertas cadangan pembinaan bangunan baru masjid telah diangkat ke Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu bagi memohon pandangan dan 2 bidang tanah bersebelahan dengan masjid juga telah diambil balik oleh kerajaan untuk tujuan pembesaran masjid.

Setelah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu, pada awal tahun 2008 Jabatan Kerja Raya telah menawarkan tender bagi membina dan menyiapkan bangunan baru Masjid Raja Chendering dengan sebut harga berjumlah RM7,480,404.80. Kerja-kerja pembinaan masjid ini telah diserahkan kepada syarikat Tasland Corporation Sdn.Bhd untuk disiapkan.





Gambar terkini Masjid Sultan Ismail Chendering, Kuala Terengganu


Gambar kenangan Masjid Raja Chendering yang banyak memberikan jasa kepada penduduk setempat dalam mengerjakan ibadat sembahyang sebelum dibina dengan masjid yang baru dilokasi yang sama seperti yang terdapat pada masa kini dan dinamakan dengan gelaran Masjid Sultan Ismail (gambar atas)

Wednesday, January 25, 2012

MASJID AL - AZIM, MELAKA



Masjid Negeri Al-Azim mula dibina pada 14hb. Mac,1984. 
Batu asasdan arah kiblat diletakkan oleh Y.A.B. Ketua Menteri Melaka pada
ketika itu Datuk Seri Mohd. Adib bin Haji Adam. Seterusnya disempurnakan
oleh Y.A.B. Datuk Seri Abd. Rahim bin Datuk Thamby Chik
hinggalah masjid ini siap dan dirasmikan pada hari Jumaat 20hb.
Zulhijjah 1410 (H) bersamaan 13hb. Julai 1990 (M) dalam suatu
upacara yang bersejarah oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-
Pertuan Agong Sultan Azlan Shah. Masjid ini memuatkan jemaah
berjumlah 11,700 orang. 

Reka bentuk bumbung masjid dibina bertingkat-tingkat sebanyak tiga lapisan. Puncak bumbung mengetengahkan konsep berkubah yang berlainan daripada bentuk puncak di kebanyakan bumbung masjid-masjid lain di Melaka.
Setiap hujung pada tulang bumbung terdapat ukiran sulur bayung yang menjadikan masjid ini bertambah unik. Bentuk tersebut seolah-olah genggaman tangan semasa bertahiyat di dalam solat.

Menara masjid ini dibina berbentuk segi lima yang melambangkan rukun Islam. Ia berketinggian 57.3 meter atau 188 kaki. Pada puncak menara terdapat sebuah kubah yang menyamai bentuk dan warna kubah utama masjid. Selain menjadi tempat pancaran suara, menara ini dianggap menjadi mercu tanda kepada Masjid Al-Azim. -
islamgrid
 


Alamat: BUKIT PALAH, 75400 MELAKA
Telefon: 062841142

Tuesday, January 17, 2012

MASJID DIRAJA SULTAN ALA'EDDIN BANTING SELANGOR


Dibina oleh Almarhum Sultan Sulaiman Ala'eddin Shah 
berhampiran istana baginda bersemayam. 

Masjid ini dibina di Kampung Bandar (sekarang Kampung Bandar Bersejarah), Kuala Langat, Selangor, lebihkurang 15-20 minit perjalanan dari Pekan Banting
Dari segi reka bentuk, masjid ini mendapat pengaruh seni bina dari Kerajaan Deli Medan Sumatera Utara yang turut terpengaruh dengan seni bina Moghul. Ini jelas ditunjukkan dengan rupa bentuk kubah dan terdapat beberapa kubah serta menara pada bangunan masjid.

Senibina Masjid
  • Senibina masjid ini mempunyai ciri-ciri rekabentuk campuran India-Muslim dan Islam Timur Tengah. Ianya dikatakan mempunyai pengaruh senibina pemerintahan Deli di Medan, Sumatera Utara.
  • Sekali pandang pada bentuk masjid, ada imbasan arca istana zaman silam dalam cerita-cerita dongeng Aladdin & Kisah 1001 Malam.
  • Banyak pengubahsuaian & tambahan telah dijalankan, terutama sekali pada bahagian dalamannya. Keseluruhan dinding dalaman telah disolek dengan penyudah kayu beralur, manakala sebelah dalam kubah telah dilitupi dengan siling kayu dekoratif, dihiasi dengan motif Kalimah Shahadah & nama-nama Khulafa' Arrasyidin. Bentuk asal kubah dari dalam sudah tidak kelihatan lagi.
  • Kawasan lapang tidak berbumbung yang pada asalnya merupakan laman terbuka tanpa lantai telah diratakan dan disudahi dengan lantai jubin sebagai ruang solat tambahan.
  • Bangunan utama masjid yang berkubah dikelilingi oleh dinding tinggi bertingkap jeriji. Di setiap sudut terdapat menara yang sederhana tingginya. Di tengah dinding bahagian hadapan masjid pula dibina menara azan bersegi delapan yang mempunyai dua aras tinjauan, berkubah keemasan di puncaknya. Keseluruhannya ibarat kubu kota pertahanan yang mengelilingi sebuah istana raja.-mybanting



Alamat: JALAN ISTANA, KG. BANDAR, JUGRA, BANTING, KUALA LANGAT

MASJID PUTRA WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA


Masjid Putra didirikan pada 22 Zulkaedah 1419 Hijri 
bersamaan 9 Mac 1999 Masihi. 
Ia menjadi mercu tanda Wilayah Persekutuan Putrajaya. Masjid ini dinamakan Masjid Putra sempena Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Kedudukan masjid ini bersebelahan dengan Dataran Putra dan bertentangan dengan blok Perdana Putra. Dari arah masjid ini, dapat dilihat pemandangan indah Tasik Putra dan kawasan sekitarnya. Sebahagian besar kawasan masjid dikelilingi oleh tasik, menjadikan masjid ini kelihatan terapung-apung di atas air seperti Masjid Tengku Tengah Zaharah di Terengganu dan Masjid Tanjung Bunga di Pulau Pinang. Bezanya kedua-dua masjid ini dibina berhampiran dengan laut, manakala Masjid Putra dikelilingi oleh tasik. 

Konsep Reka Bentuk Masjid
Konsep reka bentuk Masjid Putra ini berdasarkan kepada seni bina Parsi zaman Kerajaan Safawe. Seni bina dan reka bentuk kubahnya menonjolkan ciri-ciri masjid tradisi yang mudah dilihat di Timur Asia. Ketinggian keseluruhan masjid ini menyamai bangunan 21 tingkat. Ia terdiri daripada empat aras termasuk bumbung yang mempunyai fungsi masing-masing.

Aras Bawah Dua
Dinding dan benteng yang dibina di sekeliling aras ini menampilkan imej pertahanan yang kuat untuk menggambarkan keteguhan. Aras ini menjadi penghubung utama kepada siar kaki, iaitu jalan mengelilingi tasik. Di aras ini terdapat pelantar untuk para pengunjung menghayati udara nyaman dari tasik.

Aras Bawah Satu
Bahagian ini menempatkan pelbagai kemudahan seperti auditorium yang boleh memuatkan seramai 450 orang, dewan makan untuk 400 orang dan sebuah ruang legar untuk pameran. Di sini turut ditempatkan pejabat utama Masjid Putra, tiga buah bilik kuliah, bilik pengurusan jenazah, tempat berwuduk dan bilik air serta rumah kakitangan.

Aras Bawah
Aras ini membawa konsep keterbukaan. Tiang berbentuk payung di aras ini direka supaya dapat memberikan perlindungan orang ramai daripada hujan dan panas serta pengaliran udara semula jadi. Konsep ini juga bertujuan untuk menyambungkan antara saf dalam dan saf luar sekiranya jemaah terlalu ramai pada satu-satu masa.
Dewan solat utama terletak di sini yang boleh memuatkan bilangan jemaah seramai 8,000 orang pada satu masa. Pintu masuknya mempunyai reka bentuk berdasarkan struktur binaan di Isfahan.
Sebuah laman terbuka terbentang luas di antara ruang solat utama dan pintu masuk utama masjid. Laman terbuka ini merupakan tapak kepada menara masjid setinggi 116 meter dan dihiasi dengan kolam-kolam air dan pepohonan. Laman terbuka serta pelantar sekeliling aras ini boleh menampung seramai 5,000 jemaah lagi.

Aras Satu dan Bumbung
Bahagian ini mempunyai lapan buah kubah kecil yang membentuk empat penjuru dewan solat utama. Konsep terbuka jelas kelihatan dengan adanya tingkat-tingkat besar yang dihiasi gaya rekaan yang begitu indah di sekeliling aras tersebut.
Sebanyak enam belas tudung konkrit mengelilingi aras ini. Puncak kubah dihiasi dengan mercu tajam yang mengarah ke langit. Dewan solat wanita berada di aras satu yang boleh menampung seramai 2,000 jemaah. Keempat-empat aras ini dihubungkan oleh rangkaian tangga yang bermula dari tempat wuduk utama serta dua buah lif di kiri dan kanan pintu dewan solat utama.

Kubah Masjid
Kubah Masjid Putra ini berwarna merah jambu dan reka bentuknya berasaskan arabesque iaitu ukiran berkonsepkan tumbuhan seperti yang terdapat pada kubah-kubah masjid di Mesir. Ukiran dan hiasan dalaman kubah dan masjid ini pada keseluruhannya diilhamkan berdasarkan seni ukir tempatan.
Selain daripada kubah yang menjadi tarikan pada Masjid Putra ini, bahan daripada kayu cengal yang menjadi pilihan untuk pintu, jerejak dan pemidang pada masjid ini telah berjaya menghidupkan seni ukir Melayu berteraskan ajaran Islam yang menonjolkan semangat persaudaraan dan keharmonian sesama insan.-islamgrid



Monday, January 16, 2012

MASJID ABIDIN KUALA TERENGGANU


Dahulunya masjid ini dikenali dengan nama Masjid Besar atau Masjid Puteh.
Sebagai sebuah negeri Islam, maka masjid adalah suatu simbol agama yang dipandang mulia dan suci, selain daripada menjadikan tempat untuk beramal ibadat. Negeri Terengganu Darul Iman berasa bangga dengan adanya sebuah masjid bersejarah yang sekarang dikenali dengan nama Masjid Abidin yang tersergam dan terletak di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu. 

Bangunan masjid ini pada asalnya merupakan sebuah istana kayu yang didirikan oleh Al-Marhum Sultan Zainal Abidin II (Marhum Masjid 1793-1808) kemudian dalam tahun 1269H/1852M, Almarhum Baginda (Sultan Umar) telah mendirikan bangunan baru daripada batu. Bangunan masjid ini telah diperbesarkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III, kira-kira dalam tahun 1319H (1901M).

Menurut cerita, masjid ini pada mulanya didirikan tanpa tiang di tengah-tengah bahagian dalam bangunan. Dindingnya hanya sekerat dan melengkung berlubang-lubang bagaikan pintu gerbang. Terdapat sebuah binaan kayu yang beratapkan kayu berlian. Terdapat juga enam buah kolah pada masa itu dan setiap satunya berukuran kira-kira dua depa panjang dan 1.5 depa lebar.

Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III, barulah binaan itu dibaiki dan diperbesar seperti mana yang ada sekarang (sebelum tambahan baru) dengan ditambah tiang-tiang di ruang tengah bahagian dalam, dinding tembok simen, diadakan sutuh dan tiga buah menara. Pembinaannya pada masa itu dikelolakan oleh Tengku Muda Kemaman (Tengku Panglima Besar), dan tukangnya pula terdiri daripada orang-orang Melayu dan juga Cina. Tulisan-tulisan kasar yang terdapat di pintu masuk utama telah ditulis oleh Tengku Abdul Kadir bin Salim, manakala lukisan-lukisan kecil pula dilukis oleh Tuan Haji Abdul Rahman.

Mimbar yang ada sekarang dibuat oleh Encik Badul Kadir. Semasa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, perubahan besar telah dibuat dengan tambahan baru yang hampir sekali ganda luasnya dari bangunan asal dan penambahan alat-alat baru. Selain daripada tempat untuk beribadat, masjid ini juga digunakan untuk pelbagai aktiviti-aktiviti keagamaan.-islamgrid