Dibina oleh Almarhum Sultan Sulaiman Ala'eddin Shah
berhampiran istana baginda bersemayam.
Masjid ini dibina di Kampung Bandar (sekarang Kampung Bandar Bersejarah), Kuala Langat, Selangor, lebihkurang 15-20 minit perjalanan dari Pekan Banting
Dari segi reka bentuk, masjid ini mendapat pengaruh seni bina dari Kerajaan Deli Medan Sumatera Utara yang turut terpengaruh dengan seni bina Moghul. Ini jelas ditunjukkan dengan rupa bentuk kubah dan terdapat beberapa kubah serta menara pada bangunan masjid.
Senibina Masjid
- Senibina masjid ini mempunyai ciri-ciri rekabentuk campuran India-Muslim dan Islam Timur Tengah. Ianya dikatakan mempunyai pengaruh senibina pemerintahan Deli di Medan, Sumatera Utara.
- Sekali pandang pada bentuk masjid, ada imbasan arca istana zaman silam dalam cerita-cerita dongeng Aladdin & Kisah 1001 Malam.
- Banyak pengubahsuaian & tambahan telah dijalankan, terutama sekali pada bahagian dalamannya. Keseluruhan dinding dalaman telah disolek dengan penyudah kayu beralur, manakala sebelah dalam kubah telah dilitupi dengan siling kayu dekoratif, dihiasi dengan motif Kalimah Shahadah & nama-nama Khulafa' Arrasyidin. Bentuk asal kubah dari dalam sudah tidak kelihatan lagi.
- Kawasan lapang tidak berbumbung yang pada asalnya merupakan laman terbuka tanpa lantai telah diratakan dan disudahi dengan lantai jubin sebagai ruang solat tambahan.
- Bangunan utama masjid yang berkubah dikelilingi oleh dinding tinggi bertingkap jeriji. Di setiap sudut terdapat menara yang sederhana tingginya. Di tengah dinding bahagian hadapan masjid pula dibina menara azan bersegi delapan yang mempunyai dua aras tinjauan, berkubah keemasan di puncaknya. Keseluruhannya ibarat kubu kota pertahanan yang mengelilingi sebuah istana raja.-mybanting
Alamat: JALAN ISTANA, KG. BANDAR, JUGRA, BANTING, KUALA LANGAT
Masjid Putra didirikan pada 22 Zulkaedah 1419 Hijri
bersamaan 9 Mac 1999 Masihi.
Ia menjadi mercu tanda Wilayah Persekutuan Putrajaya. Masjid ini dinamakan Masjid Putra sempena Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Kedudukan masjid ini bersebelahan dengan Dataran Putra dan bertentangan dengan blok Perdana Putra. Dari arah masjid ini, dapat dilihat pemandangan indah Tasik Putra dan kawasan sekitarnya. Sebahagian besar kawasan masjid dikelilingi oleh tasik, menjadikan masjid ini kelihatan terapung-apung di atas air seperti Masjid Tengku Tengah Zaharah di Terengganu dan Masjid Tanjung Bunga di Pulau Pinang. Bezanya kedua-dua masjid ini dibina berhampiran dengan laut, manakala Masjid Putra dikelilingi oleh tasik.
Konsep Reka Bentuk Masjid
Konsep reka bentuk Masjid Putra ini berdasarkan kepada seni bina Parsi zaman Kerajaan Safawe. Seni bina dan reka bentuk kubahnya menonjolkan ciri-ciri masjid tradisi yang mudah dilihat di Timur Asia. Ketinggian keseluruhan masjid ini menyamai bangunan 21 tingkat. Ia terdiri daripada empat aras termasuk bumbung yang mempunyai fungsi masing-masing.
Aras Bawah Dua
Dinding dan benteng yang dibina di sekeliling aras ini menampilkan imej pertahanan yang kuat untuk menggambarkan keteguhan. Aras ini menjadi penghubung utama kepada siar kaki, iaitu jalan mengelilingi tasik. Di aras ini terdapat pelantar untuk para pengunjung menghayati udara nyaman dari tasik.
Aras Bawah Satu
Bahagian ini menempatkan pelbagai kemudahan seperti auditorium yang boleh memuatkan seramai 450 orang, dewan makan untuk 400 orang dan sebuah ruang legar untuk pameran. Di sini turut ditempatkan pejabat utama Masjid Putra, tiga buah bilik kuliah, bilik pengurusan jenazah, tempat berwuduk dan bilik air serta rumah kakitangan.
Aras Bawah
Aras ini membawa konsep keterbukaan. Tiang berbentuk payung di aras ini direka supaya dapat memberikan perlindungan orang ramai daripada hujan dan panas serta pengaliran udara semula jadi. Konsep ini juga bertujuan untuk menyambungkan antara saf dalam dan saf luar sekiranya jemaah terlalu ramai pada satu-satu masa.
Dewan solat utama terletak di sini yang boleh memuatkan bilangan jemaah seramai 8,000 orang pada satu masa. Pintu masuknya mempunyai reka bentuk berdasarkan struktur binaan di Isfahan.
Sebuah laman terbuka terbentang luas di antara ruang solat utama dan pintu masuk utama masjid. Laman terbuka ini merupakan tapak kepada menara masjid setinggi 116 meter dan dihiasi dengan kolam-kolam air dan pepohonan. Laman terbuka serta pelantar sekeliling aras ini boleh menampung seramai 5,000 jemaah lagi.
Aras Satu dan Bumbung
Bahagian ini mempunyai lapan buah kubah kecil yang membentuk empat penjuru dewan solat utama. Konsep terbuka jelas kelihatan dengan adanya tingkat-tingkat besar yang dihiasi gaya rekaan yang begitu indah di sekeliling aras tersebut.
Sebanyak enam belas tudung konkrit mengelilingi aras ini. Puncak kubah dihiasi dengan mercu tajam yang mengarah ke langit. Dewan solat wanita berada di aras satu yang boleh menampung seramai 2,000 jemaah. Keempat-empat aras ini dihubungkan oleh rangkaian tangga yang bermula dari tempat wuduk utama serta dua buah lif di kiri dan kanan pintu dewan solat utama.
Kubah Masjid
Kubah Masjid Putra ini berwarna merah jambu dan reka bentuknya berasaskan arabesque iaitu ukiran berkonsepkan tumbuhan seperti yang terdapat pada kubah-kubah masjid di Mesir. Ukiran dan hiasan dalaman kubah dan masjid ini pada keseluruhannya diilhamkan berdasarkan seni ukir tempatan.
Selain daripada kubah yang menjadi tarikan pada Masjid Putra ini, bahan daripada kayu cengal yang menjadi pilihan untuk pintu, jerejak dan pemidang pada masjid ini telah berjaya menghidupkan seni ukir Melayu berteraskan ajaran Islam yang menonjolkan semangat persaudaraan dan keharmonian sesama insan.-islamgrid
Dahulunya masjid ini dikenali dengan nama Masjid Besar atau Masjid Puteh.
Sebagai sebuah negeri Islam, maka masjid adalah suatu simbol agama yang dipandang mulia dan suci, selain daripada menjadikan tempat untuk beramal ibadat. Negeri Terengganu Darul Iman berasa bangga dengan adanya sebuah masjid bersejarah yang sekarang dikenali dengan nama Masjid Abidin yang tersergam dan terletak di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu.
Bangunan masjid ini pada asalnya merupakan sebuah istana kayu yang didirikan oleh Al-Marhum Sultan Zainal Abidin II (Marhum Masjid 1793-1808) kemudian dalam tahun 1269H/1852M, Almarhum Baginda (Sultan Umar) telah mendirikan bangunan baru daripada batu. Bangunan masjid ini telah diperbesarkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III, kira-kira dalam tahun 1319H (1901M).
Menurut cerita, masjid ini pada mulanya didirikan tanpa tiang di tengah-tengah bahagian dalam bangunan. Dindingnya hanya sekerat dan melengkung berlubang-lubang bagaikan pintu gerbang. Terdapat sebuah binaan kayu yang beratapkan kayu berlian. Terdapat juga enam buah kolah pada masa itu dan setiap satunya berukuran kira-kira dua depa panjang dan 1.5 depa lebar.
Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III, barulah binaan itu dibaiki dan diperbesar seperti mana yang ada sekarang (sebelum tambahan baru) dengan ditambah tiang-tiang di ruang tengah bahagian dalam, dinding tembok simen, diadakan sutuh dan tiga buah menara. Pembinaannya pada masa itu dikelolakan oleh Tengku Muda Kemaman (Tengku Panglima Besar), dan tukangnya pula terdiri daripada orang-orang Melayu dan juga Cina. Tulisan-tulisan kasar yang terdapat di pintu masuk utama telah ditulis oleh Tengku Abdul Kadir bin Salim, manakala lukisan-lukisan kecil pula dilukis oleh Tuan Haji Abdul Rahman.
Mimbar yang ada sekarang dibuat oleh Encik Badul Kadir. Semasa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, perubahan besar telah dibuat dengan tambahan baru yang hampir sekali ganda luasnya dari bangunan asal dan penambahan alat-alat baru. Selain daripada tempat untuk beribadat, masjid ini juga digunakan untuk pelbagai aktiviti-aktiviti keagamaan.-islamgrid