Wednesday, March 7, 2012

MASJID JAMEK AN-NUR, WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN


Pembinaan masjid ini siap pada 15 Mei 1987 

Masjid yang dinamakan An-Nur ini terletak di tapak seluas 4.5 ekar di pusat bandar Labuan dan ia sangat mudah dikunjungi oleh sesiapa sahaja. Pada peringkat awalnya pembinaan masjid ini dikendalikan oleh kerajaan Negeri Sabah melalui Majlis Agama Islam Sabah (MUIS). Masjid ini didirikan bagi mengganti masjid lama Labuan yang tidak lagi dapat menampung bilangan jemaah yang semakin meningkat.

Kerja-kerja projek pembinaan telah dimulakan pada 9 Jun 1980 Masihi tetapi atas beberapa sebab teknikal, projek ini telah ditangguhkan. Namun pada 16 April 1984 Masihi setelah Pulau Labuan dijadikan Wilayah Persekutuan yang kedua selepas Kuala Lumpur, projek ini diambil alih dan dilaksanakan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan. Tawaran melaksanakan projek ini telah dibuat semula dan akhirnya pembinaan masjid ini siap pada 15 Mei 1987 Masihi. Masjid ini telah dirasmikan pada 13 Jamadilakhir 1408 Hijri bersamaan 1 Februari 1988 Masihi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Alaudin Shah ketika Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

Konsep Reka Bentuk

Masjid ini berkonsepkan gabungan elemen seni bina Melayu Brunei dan Turki. Hasil daripada kedua-dua pengaruh ini berjaya melahirkan masjid yang mempunyai identiti baru yang unik dan indah. Masjid ini dilengkapi dengan sebuah kubah berbentuk dom dan dua buah menara tinggi di kiri dan kanan masjid.

Oleh kerana masjid ini berlatarkan Laut China Selatan, kedua menara ini turut menjadi panduan utama kepada para nelayan terutama pada waktu malam. Reka bentuk dan hiasan dalaman masjid ini berkonsepkan kontemporari. Jeriji dan cermin telus menjadi elemen pencahayaan dan pengudaraan semula jadi ke dalam masjid. Anak tangga sebagai penghubung aras bawah dan tingkat atas dihiasi dengan lampu bulat tergantung di bahagian atas bagi memberi cahaya dan mengindahkan lagi bahagian ini.

Masjid An-Nur turut dilengkapi beberapa kemudahan dan kelengkapan untuk kegunaan orang ramai seperti tiga buah dewan kuliah, Perpustakaan Darul Hikmah, pejabat pentadbiran dan sebuah bilik rehat untuk orang-orang kenamaan. -islamgrid
 
 
Alamat: PETI SURAT 81981