Sunday, February 12, 2012

MASJID SULTAN ISMAIL (MASJID RAJA) CHENDERING, KUALA TERENGGANU


Bangunan ini telah siap sepenuhnya pada 31 Mei 2011 dan mula diberi kebenaran gunapakai pada 4 Ogos 2011.


Masjid Sultan Ismail (dahulu dikenali sebagai Masjid Raja Chendering) adalah salah sebuah daripada 491 masjid yang ada di negeri Terengganu. Ia terletak di Mukim Chendering Daerah Kuala Terengganu. Kedudukan lokasinya yang bersebelahan dengan jalanaraya Kuala Terengganu-Marang telah menjadikan masjid ini sebagai tempat persinggahan orang ramai untuk mengerjakan solat.

Menurut catatan sejarah, sebelum terbinanya bangunan lama Masjid Raja Chendering, terdapat sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Lebai Zainal di Kampung Chendering. Ia merupakan masjid pertama dibina di kampung ini dan merupakan antara masjid yang menjadi tempat persinggahan orang-orang kenamaan dizaman dahulu. Lokasi bangunan Masjid Lebai Zainal ini tidak dapat dikenalpasti pada hari ini, tetapi menurut sumber sejarah, ia terletak tidak jauh dari tapak lokasi masjid yang ada pada hari ini. Masjid ini adalah bersaiz kecil dan hanya mampu memuatkan seramai 150 orang  jemaah sahaja dalam satu-satu masa.

Akibat daripada peningkatan jumlah penduduk dari semasa ke semasa, masjid ini telah menjadi sesak dan sudah tidak lagi mampu untuk menampung bilangan jemaah yang semakin meningkat. Rentetan daripada itu, dalam tahun 1950, Tengku Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Tengku Seri Wa Diraja ketika itu telah mengambil inisiatif dengan menghadiahkan salah sebuah daripada rumahnya di Kuala Terengganu untuk dijadikan sebagai bangunan masjid baru bagi menampung bilangan jemaah yang lebih ramai.

Berikutan itu, pada tahun 1951 kerja-kerja merombak kayu rumah Tengku Seri Wa Diraja telah dilakukan secara bergotong-royong oleh penduduk Kampung Chendering dan telah memindahkannya menggunakan lori ke sebuah tapak baru yang diwakafkan untuk masjid oleh Allahyarham Che Dagang. Bermula daripada pengorbanan Tengku Seri Wa Diraja inilah terakamnya nama Masjid Raja Chendering yang dikenali sehingga kini sempena menghargai jasa beliau mewakafkan rumahnya untuk masjid.

Setelah itu, bangunan masjid ini kemudiannya telah mengalami empat kali pengubahsuaian mengikut peredaran zaman dan keperluan semasa dan keluasan terakhir masjid ini sebelum dirobohkan bagi pembinaan bangunan baru yang ada kini  seluas 4,200 kaki persegi yang mampu memuatkan seramai 500-600 jemaah dalam satu masa.

Cadangan pembinaan bangunan masjid baru telah dilakukan tahun 1999, satu kertas cadangan pembinaan bangunan baru masjid telah diangkat ke Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu bagi memohon pandangan dan 2 bidang tanah bersebelahan dengan masjid juga telah diambil balik oleh kerajaan untuk tujuan pembesaran masjid.

Setelah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu, pada awal tahun 2008 Jabatan Kerja Raya telah menawarkan tender bagi membina dan menyiapkan bangunan baru Masjid Raja Chendering dengan sebut harga berjumlah RM7,480,404.80. Kerja-kerja pembinaan masjid ini telah diserahkan kepada syarikat Tasland Corporation Sdn.Bhd untuk disiapkan.





Gambar terkini Masjid Sultan Ismail Chendering, Kuala Terengganu


Gambar kenangan Masjid Raja Chendering yang banyak memberikan jasa kepada penduduk setempat dalam mengerjakan ibadat sembahyang sebelum dibina dengan masjid yang baru dilokasi yang sama seperti yang terdapat pada masa kini dan dinamakan dengan gelaran Masjid Sultan Ismail (gambar atas)

1 comment: